logo
 
 

Utusan Borneo Selasa Feb 2008 - Pusat Pemulihan Komuniti dan Perpustakaan i-Play Toy dilancar

KUCHING: Pusat Pemulihan Komuniti I-Play Toy yang pertama di Malaysia dan projek Perpustakaan I-Play Toy julung kali di Sarawak telah dilancarkan di kampung Semariang, di sini, Ahad lalu.

Projek berkenaan merupakan usaha sama antara Majlis Pembangunan Komuniti dan Kebajikan (Mayang) Petra Jaya dan Jabatan Kebajikan Sarawak. Menteri perumahan Dato Sri Abang Johari Tun Abang Openg telah dijemput untuk merasmikan majlis berkenaan sekaligus melancarkan Biro Pendidikan Petra Jaya.

Emkay Foundation selaku penaja kepada pembinaan Perpustakaan I-Play Toy, telah menyumbang RM123,000 untuk projek berkenaan dan perpustakaan itu dilengkapkan dengan koleksi alat permainan pendidikan dan bantuan pendidikan.

Sehubungan itu, Johari berkata, penubuhan dua pusat berkenaan menunjukkan dua pihak iaitu kerajaan dan swasta bekerja sama demi kepentingan rakyat.

"Hari ini kita telah melihat kerajaan dan sektor swasta bekerja sama untuk menubuhkan pusat pengetahuan komuniti dan kita bernasib baik kerana mempunyai Ahli Parlimen di kawasan ini yang mengambil berat tentang aspek pendidikan.

"Ini juga menunjukkan beliau (Fadillah Yusuf) sentiasa bekerja keras untuk rakyat dan dalam pilihan raya akan datang adalah penting untuk memastikan wakil rakyat ini boleh bekerjasama dengan rakyat,"kata Johari.

Beliau turut memuji usaha Fadillah melibatkan pelbagai sektor dalam pembangunan di konstituensinya dan berkata ia juga menyediakan peluang kepada kementerian-kementerian di negeri ini dan wakil-wakil rakyat menjalinkan kerjasama dengan pelbagai kumpulan di Kuala Lumpur.

Dalam pada itu beliau berharap rakyat akan memberi mandat kepada Fadillah dan dengan itu beliau boleh terus berkhidmat kepada penduduk di kawasan Petra Jaya dan menerusi pelbagai jabatan pendidikan bagi memastikan semua kanak-kanak di kawasan itu mendapat tempat dalam negara ini pada masa hadapan.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pemegang Saham Emkay Foundation Tan Sri Datuk Mustapha Kamal Abu Bakar berkata perpustakaan adalah tempat yang baik untuk menyemai nilai moral di kalangan kanak-kanak selain sebagai pendidikan awal kanak-kanak. 

Utusan Sarawak 26 Feb 2008 - i-Play pertama di Sarawak dirasmi

KUCHING, Ahad - Menteri Perumahan Sarawak Dato Sri Abang Haji Abdul Rahman Johari Tun Abang Haji Openg hari ini merasmikan i-play Toy Library (Perpustakaan Permainan) Petra Jaya yang pertama di Sarawak di Semariang Batu hari ini.

Abang Johari memberitahu kewujudan perpustakaan mainan ini merupakan usaha bersama kerajaan dan badan swasta ke arah membentuk generasi yang berilmu.

'Perdana Menteri Malaysia sendiri berkata modal insan adalah seorang yang berilmu dan ilmu itu digunakan untuk membangunkan diri dan masyarakat.

"Mainan yang terdapat di perpustakaan ini kelak bukan sebarang mainan. Di sini nanti kanak-kanak berpeluang bermain sambil belajar," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian i-Play Toy Library Petra di Semariang Batu.

i-Play Toy Library merupakan sebuah pusat komuniti yang memuatkan pelbagai koleksi peralatan permainan ,kelengkapan bermain dan alat bantuan mengajar kepada kanak-kanak pada awal perkembangan mereka. 

Copyright 2005 - 2008 © Educate To Learn Sdn Bhd . Privacy Policy